JAGUH lompat kijang negara, Hakimi Ismail berharap sentuhan daripada jurulatih baharunya, Teddy Tamgho mampu membawanya ‘terbang’ lebih tinggi sekaligus layak ke Olimpik Tokyo tahun depan.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter (m) itu mendapat sentuhan daripada pemegang rekod dunia dalam dewan acara lompat kijang sejak Oktober tahun lalu.
Atlet kelahiran Perak itu sedar usianya semakin meningkat, justeru tahun ini masa yang terbaik untuk dirinya menimba pengalaman bersama jurulatih terbaik dunia.
“Saya berusaha mencari jurulatih baharu selepas khidmat jurulatih terdahulu dari Russia (Victor Sotnikov) tidak disambung. Saya cuba nasib menghantar mesej kepada Tamgho untuk memintanya menjadi jurulatih tahun lalu.
“Pada mulanya dia tidak membalas. Hampir sebulan setengah dan selepas Kejohanan Dunia rasanya, baru dia balas dan menyatakan persetujuan membimbing saya sejak Oktober tahun lalu.
“Daripadanya banyak perkara baru saya pelajari. Sampai sekarang masih lagi belajar dan perbetulkan banyak benda. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar cuma sekarang ini tiada lagi pertandingan untuk menilai tahap keupayaan diri,” katanya.
Tamgho dilahirkan pada 15 Jun 1989 adalah bekas atlet kelahiran Perancis. Beliau pemegang rekod dunia dalam dewan dengan catatan 17.92m dan berkedudukan tempat keenam dalam senarai atlet lompat kijang terbaik dunia sepanjang zaman dengan catatan 18.04m.
Dia bagaimanapun mengambil keputusan bersara daripada arena olahraga dan memilih untuk menjadi jurulatih selepas mengalami kecederaan.
Menurut Hakimi, Tamgho berjaya menghasilkan ramai atlet berwibawa dan melakukan lompatan melebihi 17m ketika di bawah kendalian beliau.
Malah ada yang berjaya meraih pingat di Kejohanan Dunia biarpun baru berlatih bersama Tamgho dalam tempoh setahun dua.
“Peluang untuk layak ke Olimpik itu masih terbuka untuk semua atlet. Saya perlu berusaha memberi yang terbaik untuk layak,” katanya.