BEKAS pemain badminton perseorangan kebangsaan, Arif Latif, berazam untuk melahirkan lebih ramai pemain badminton pelapis berbakat menerusi Kelab Badminton Bandar Seremban (SCBC) yang diusahakannya.
Jaguh badminton negara berusia 30 tahun itu berkata, kelab yang ditubuhkan awal tahun ini itu kini mempunyai 16 orang pelatih berusia antara tujuh hingga 21 tahun.
Katanya, penubuhan kelab itu adalah atas kesedaran untuk melihat lebih ramai pemain muda berbakat dapat diberikan bimbingan dan menjadikan mereka sebagai jaguh badminton suatu hari kelak.
“Selepas mengambil keputusan menggantung raket pada akhir tahun lalu, saya menubuhkan kelab ini untuk memastikan segala kemahiran dan pengalaman dapat diwarisi kepada pemain muda dalam kalangan anak tempatan.
“Setakat ini terdapat 16 pemain muda akar umbi yang bersama saya berlatih di kelab ini dan mereka ini diberikan bimbingan sepenuhnya dari peringkat asas selain turut didedahkan dengan beberapa kejohanan tempatan.
“Bagaimanapun, oleh kerana kelab ini masih baharu dan pemain masih menerima pendedahan asas, mereka belum dapat didedahkan dengan banyak kejohanan kecuali di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan.
“Tambahan pula dengan program latihan terhenti seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, saya sudah menyediakan program latihan intensif dan beberapa kejohanan yang akan diteruskan sebaik PKP ini berakhir nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Arif yang pernah memenangi beberapa kejuaraan kejohanan badminton grand prix kebangsaan dan dunia berkata, dia mahu mengikut jejak langkah jaguh badminton negara, Datuk Misbun Sidek serta adik beradik beliau yang menubuhkan Kelab Nusa Mahsuri.
Dia yang dibantu bekas pemain Negeri Sembilan, Mohd Zakry Idris, yakin dan percaya menerusi kaedah itu, usahanya untuk membantu negara khususnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat, akan tercapai.
“Negara memerlukan ramai pemain berprestasi tinggi bukan saja untuk menggalas cabaran di peringkat antarabangsa malah meneruskan kesinambungan kejayaan pada masa depan.
“Saya berharap usaha ini akan dapat membantu bagi menjayakan misi berkenaan,” katanya.