TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 nyata dimanfaatkan sepenuhnya pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan yang membantu perniagaan kedai makan ibunya di Ipoh.
Malah, dia sendiri tidak keberatan melakukan servis penghantaran makanan kepada pelanggan selain pemasaran terhadap kedai makannya yang diberikan nama AN 23 Char Kuey Teow.
Menurut Amirul, walaupun AN 23 sudah dibuka sejak lima tahun lalu, pengalaman kali ini nyata berbeza kerana terpaksa melakukan perniagaan secara pesanan sahaja kerana restoran perlu ditutup sepanjang PKP.
“Kedai ini dah lama dibuka iaitu sejak 2015 dan milik ibu, tetapi saya menguruskan bersamanya, cuma kali ini pendekatan berbeza terpaksa diambil ekoran PKP.
“Sekarang saya sendiri kena turun padang melakukan proses mengambil pesanan daripada pelanggan serta melakukan penghantaran jika perlu dan tidak ketinggalan dalam soal pemasaran.
“Dalam tempoh PKP ini, kami memfokuskan kepada lapan menu utama sahaja berbanding 30 yang kami ada ketika restoran boleh dibuka.
“Alhamdulilah, sambutannya tetap menggalakkan biarpun dalam tempoh PKP dan adakalanya kami tidak menang tangan melayani pesanan pelanggan.
“Malah, ramai juga pelanggan terdiri daripada peminat Perak yang memudahkan saya melakukan pemasaran dan diharap boleh membantu saya dari segi jualan,” kata tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya itu.
Selain char kuetiau yang menjadi menu utama Restoran AN 23, tarikan yang lain ialah seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan, nasi goreng pataya banjir, nasi goreng chicken chop, nasi lemak pandan ayam dan mi kari.
Amirul yang beraksi selaku bek kanan adalah salah seorang tunjang kekuatan skuad The Bos Gaurus sejak 2016.