PRIHATIN dengan nasib ahli yang terjejas sumber pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Pahang (PBPBNP) tampil menghulurkan bantuan kepada 22 bekas pemain Pahang, semalam.
Setiausaha PBPBNP, Nazeri Hussain berkata, bantuan makanan dan wang tunai berjumlah RM100 itu bagi meringankan beban dihadapi ahli persatuan berkenaan.
Katanya, PBPBNP mengambil inisiatif mengumpul dana dalam usaha membantu ahli yang juga bekas pemain skuad Tok Gajah yang berdepan kesukaran terutama masalah kewangan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.
“Setakat ini, seramai 22 bekas pemain yang layak menerima sumbangan, masing-masing 15 penerima yang menetap di Kuantan manakala di daerah lain pula membabitkan tujuh penerima.
“Di Kuantan, bekas pemain menerima barang keperluan bernilai RM50 dan wang tunai RM50 manakala yang berada di luar Kuantan pula menerima RM100 yang dimasukkan ke dalam akaun bank.
“Dengan sumbangan ini, PBPBNP mengharapkan mereka berada dalam keadaan sihat dan mematuhi arahan kerajaan supaya duduk di rumah,” katanya.
Bagi penyampaian sumbangan di Kuantan semalam, ia disempurnakan Naib Yang Dipertua Satu PBPBNP, Mohamed Hassan.
PBPBNP kini mempunyai 110 ahli.
Antara 22 bekas pemain yang menerima sumbangan ialah Azizul dan Azhar Kamaluddin, Mudzar Mohamad, Abd Aziz Abd Hamid Kupai, Osaimi Jalil, Zulkifli Abd Hamid, Junaidi Junit, Abu Bakar Ismail dan Muhammad Asyraf Anbalagan.